MAA Takaful Menangi Anugerah Antarabangsa Bagi Inovasi
KUALA LUMPUR, 7 Sept (Bernama) — MAA Takaful Bhd memenangi anugerah pada Anugerah Inovasi Financial Insights — Insurance (FIIA-Insurance) daripada IDC Financial Insights, yang diadakan pada Kongres Insurans Asia di Singapura minggu lepas.
Dalam satu kenyataan Rabu, MAA Takaful berkata program FIIA-Insurance oleh IDC Financial Insights itu mengiktiraf pencapaian penanggung insurans Asia Pasifik dalam menggunakan inovasi untuk mencari kelainan dalam perniagaan.
Ia berkata anugerah FIIA itu diberikan bagi sistem pengurusan agensi dan automasi jualan, ‘Innovative Consultation Management System (iCMS)’, yang dibangunkannya dalam tempoh dua tahun.
Ketua pegawai eksekutifnya, Salim Majid Zain, berkata pengiktirafan itu mencerminkan komitmen untuk membangunkan penyelesaian inovastif yang direka khas untuk menyediakan ‘penyelesaian setempat’ bagi tenaga agensinya.
“iCMS MAA memperkasakan ejen-ejen kami untuk menjalankan perniagaan dengan cekap. Anugerah ini juga bertindak sebagai sokongan untuk mengesahkan MAA Takaful sebagai syarikat agensi No. 1 dengan sistem pengurusan No. 1,” tegas beliau.